Thursday, January 21, 2010

KAWALAN DAN PENCEGAHAN

Pengawasan vektor (nyamuk Aedes)

Sasaran utama usaha pengawalan ditujukan terhadap vektor penyakit, terutamanya Aedes aegypti kerana nyamuk ini merupakan satu-satunya komponen dalam kitaran transmisi virus yang boleh dikawal secara efektif dengan kaedah yang tersedia pada masa ini. Pengawasan vektor bertujuan untuk mengawasi jumlah dan juga paras kepadatan nyamuk Aedes. Langkah ini akan memberikan penunjuk tentang kejayaan usaha pengawalan vektor dan juga boleh membantu menentukan masa yang tepat untuk memulakan, menggiatkan ataupun menghentikan usaha pengawalan. Pengawasan Aedes boleh dilakukan terhadap peringkat jentik-jentik atau nyamuk dewasa.



Kawalan ketika belaku wabak Demam Chikungunya

a. Semburan kabus racun serangga

Tujuan semburan - untuk membunuh nyamuk Aedes dewasa yang membawa virus Chikungunya.

Jenis semburan

i. Apabila berlaku satu kes demam chikungunya, semburan kabus dijalankan seluas 200 meter sekeliling rumah pesakit dengan mesin 'Thermal Fogger'.

ii. Apabila berlaku wabak chikungunya, seluruh lokaliti berkenaan dibuat semburan kabus dengan menggunakan mesin ' Ultra Low Volume' yang diletakkan di atas kenderaan.

Masa semburan

Semburan dijalankan pada awal pagi dan petang dengan mengambil kira masa kemuncak gigitan nyamuk Aedes dewasa dan keadaan cuaca yang sesuai untuk menjalankan kerja semburan.

Kekerapan semburan

Semburan dibuat apabila ada kes demam chikungunya yang dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan. Semburan kabus pertama dilakukan dalam masa 24 jam selepas notifikasi dan diikuti dengan semburan kedua pada hari ke 7-10 berikutnya.


KERJASAMA ANDA SANGAT DIPERLUKAN SEMASA AKTIVITI SEMBURAN DIJALANKAN!!!


Langkah-langkah yang perlu diambil semasa aktiviti semburan


a. Semburan kabus 'thermal'

i. Semasa proses penyemburan penghuni hendaklah mengosongkan premis mereka termasuklah binatang peliharaan.

ii. Menutup semua tingkap dan pintu yang menghala keluar kecuali pintu hadapan.

iii. Membuka semua pintu bilik dalam rumah.

iv. Menutup atau menyimpan bahan makanan dalam peti sejuk atau almari.

v. Mematikan api dapur gas dan menutup balang gas atau apa-apa bahan yang mudah terbakar.


b. Semburan kabus 'ultra low volume'

Racun serangga yang digunakan adalah selamat pada manusia, haiwan dan alam sekitar. Walau bagaimanapun langkah-langkah keselamatan seperti di bawah amat digalakkan

i. Elakkan diri dari terdedah dan menyedut kabus semburan.

ii. Jaga kebersihan diri dengan mencuci tangan, membasuh muka dan menukar pakaian jika perlu.

iii. Dapatkan rawatan perubatan jika disyaki mengalami keracunan oleh racun serangga.


b. Memusnahkan tempat pembiakan nyamuk

Ia dilakukan di dalam sekitar radius 200 m dari kawasan kes demam chikungunya dikesan. Aktiviti-aktiviti yang dilakukan adalah seperti berikut

i. Memusnahkan atau mengurangkan sebanyak mungkin berbagai-bagai bekas dan tempat vektor menetap dan berkembang biak. Misalnya, pengumpulan dan pemusnahan sampah yang teratur seperti tin, tayar dan bekas-bekas yang boleh menakung air dan seterusnya menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

ii. Mengurang atau mengelakkan menyimpan air dalam takungan-takungan seperti deram, tempayan, kolam simen dan lain-lain.

iii. Mencampurkan Abate ke dalam semua bekas yang digunakan untuk menyimpan air. Mencampur garam atau minyak tanah ke dalam perangakp semut yang terdapat di dalam rumah.

iv. Membersihkan rumput, lalang dan semak di tanah-tanah lapang akan memusnahkan tempat nyamuk menetap dan berehat. Kaedah-kaedah ini bersama-sama dengan kaedah yang lain akan membuat alam sekitar tidak sesuai untuk pembiakan nyamuk Aedes aegypti dan Aedes albopictus.


4 Kawalan Jangka Panjang


a. Kawalan Biologi

Kawalan biologi merupakan kawalan nyamuk melalui musuh alamiah seperti haiwan pemangsa, parasit dan patogen. Haiwan pemangsa biasanya lebih besar dari mangsa yang sering dimakan. Pemangsa seperti ikan Gambusia, Claris fuscus, Macropodus dan Tilapia nilotica telah untuk digunakan untuk memakan jentik-jentik bagi nyamuk Aedes.

Jentik-jentik dari spesis nyamuk Toxorhynchites boleh juga digunakan untuk mengawal jentik-jentik nyamuk Aedes di dalam bekas-bekas takungan air. Nyamuk Toxorhynchites merupakan nyamuk yang berukuran besar tetapi tidak pernah menggigit dan menghisap darah manusia.

Bakteria seperti Bacillus thuringiensis, Bacillius israelensis dan Bacillus sphaericus boleh juga digunakan untuk mengawal nyamuk Aedes. Lain-lain contoh kawalan biologi adalah seperti menggunakan cacing gelang dan kulat seperti Coelomomyces.


b. Pendidikan Kesihatan Masyarakat

Pendidikan kesihatan memainkan peranan yang penting dalam pengawalan penyakit Demam Chikungunya oleh kerana ia berkaitan rapat dengan kehidupan domestik manusia. Pendidikan ini meliputi mengenai penyakit Demam Chikungunya dan komplikasinya, cara-cara jangkitan dan pengawalan tempat pembiakan nyamuk. Pendidikan kesihatan harus dimulakan daripada peringkat sekolah dan menengah supaya kanak-kanak mendapat pendidikan tentang tabiat kesihatan umum yang boleh membawa kepada kesedaran bagi pencegahan tempat pembiakan nyamuk dan seterusnya mengurangkan masalah Demam Chikungunya. Pendidikan orang dewasa boleh dilakukan melalui ceramah, pameran, risalah dan juga perbincangan melalui radio, televisyen dan suratkhabar.


c. Penggunaan vaksin

Sehingga kehari ini masih tiada lagi vaksin yang benar-benar berkesan dihasilkan untuk membunuh virus Chikungunya. Walau bagaimanapun penyelidikan terhadap vaksin-vaksin ini masih dijalankan di Thailand dan di Amerika Syarikat untuk memastikan ia benar-benar berkesan dan tidak merbahaya kepada manusia.


d. Undang-undang

Di Malaysia Akta Pemusnah Serangga Pembawa Penyakit telah disahkan pada tahun 1975. Akta ini memberi kuasa kepada Pegawai Kesihatan dan Inspektor Kesihatan untuk memasuki rumah dan memeriksa rumah tersebut sama ada terdapat pembiakan nyamuk atau tidak. Jika terdapat pembiakan nyamuk ditemui, amaran dan arahan akan diberikan kepada pemilik atau penghuni rumah untuk memusnahkan tempat pembiakan tersebut. DENDA akan dikenakan jika arahan ini tidak dipatuhi. Pemeriksaan rumah kemudian diulangi setelah tempoh masa tertentu dan sekiranya arahan tidak dipatuhi, pemilik atau penghuni boleh didenda atau diperintahkan hadir di mahkamah. Denda maksimum pada kali pertama adalah RM100. Jika mahkamah mendapati pemilik atau penghuni bersalah pada kali pertama, denda maksimum RM1000 atau penjara maksimum 3 bulan atau kedua-duanya sekali. Pada kesalahan kedua, denda maksimum sebanyak RM 2000 atau hukum penjara maksimum 1 tahun atau kedua-duanya sekali.



No comments:

Post a Comment